بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Saudaraku yang dirahmati Allah, sesungguhnya tujuan Allah mencipta kita adalah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya sahaja. Apa yang Allah cipta di bumi ini adalah untuk manusia agar mereka mensyukuri bukan mengkufuri.  Manusia lahir ke dunia ini tidak tahu apa-apa, Allah ciptakan telinga, mata dan akal untuk mereka belajar. Manusia memerlukan ilmu lebih daripada mereka memerlukan makanan dan minuman. Manusia sesat dan akan hidup dengan penuh kesempitan dan kecelakaan tanpa ilmu yang benar.

Firman Allah:

{ قَالَ ٱهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًۢا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَاىَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ. وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَعْمَىٰ. قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِىٓ أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا. قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَٰلِكَ ٱلْيَوْمَ تُنسَىٰ }

Allah berfirman: Turunlah kamu berdua dari Syurga itu bersama-sama, dalam keadaan sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripadaKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan celaka. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu kamu meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini ditinggalkan.  (Taha:123-126)

Saudaraku, marilah kita sama-sama perhati dan hayati ayat di atas agar kita faham dengan hakikat hidup ini dan berjumpa jalan kebahagian yang dicari. Ayat ini mengisahkan tentang manusia pertama iaitu Adam ‘alaihis salam. Nabi Adam ‘alaihis salam diciptakan di dalam syurga, beliau hidup dengan isterinya Hauwa’ r.a di syurga dalam penuh kebahagiaan, apa yang diinginkan mereka dapat, penat dan lelah tidak pernah mereka lalui, yang mereka dapat hanyalah kebahagian dan kesenangan. Apabila Allah cipta Nabi Adam ‘alaihis salam Allah memberi peringatan bahawa Iblis adalah musuh kamu, jangan kamu terpedaya dengan hasutannya kelak kamu akan dikeluarkan dari syurga. Liciknya Iblis dia berjaya meyakinkan Nabi Adam ‘alaihis salam dengan janji-janji manisnya, akhirnya Nabi Adam dan isterinya Hauwa’ makan buah daripada pokok larangan, maka mereka dikeluarkan dari syurga. Allah memberi tahu bahawa manusia dengan Iblis adalah musuh, Iblis tidak akan redha dengan anak cucu Nabi Adam ‘alaihis salam. Allah memberi tahu apabila di dunia kamu tidak akan celaka dan sengsara jika kamu mengikut petunjuk daripadaKu.

Saudaraku, apakah yang dimaksudkan dengan petunjuk? Petunjuk daripada Allah adalah rasul dan kitab yang diturunkan. Rasul tugas mereka adalah menyampaikan apa yang diperintahkan Allah, kebiasaan rasul bersama mereka kitab yang diturunkan, atau mereka menyambung apa yang ada di dalam kitab yang diturunkan kepada rasul sebelumnya. Para rasul sampai satu masa mereka akan diwafatkan yang kekal adalah kitab yang diturunkan kepada mereka. Kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul terdahulu semuanya telah diubah dan ditambah kecuali al-Quran. Al-Quran dipelihara daripada perubahan dan pemalsuan hingga hari kiamat, itulah jaminan Allah untuk kitab-Nya al-Quran.

Saudaraku, petunjuk Allah yang bersama kita sekarang adalah al-Quran yang menjamin kebahagian hakiki bagi mereka yang beriman dengannya dan beramal dengan isi kandungannya. Oleh itu, fahamlah kita kenapa manusia tidak pernah rasa bahagia dan selesa dengan kehidupan mereka, mereka tidak tahu hala tuju dalam kehidupan, tidak pernah puas dengan apa yang ada, tidak faham dengan diri sendiri apa yang dimahukan lagi, hidup penuh dengan kesempitan dan kecelakaan. Saudaraku, tiada lain hanyalah manusia tidak mengambil petunjuk Allah yang tergandung di dalam kitab-Nya al-Quran sebagai pembimbingnya dalam kehidupan.

Ada pun mereka yang beriman dengan al-Quran kemudian beramal dengan petunjuknya, mereka dalam kebahagian walaupun mendapat ujian kerana ujian dinilai satu kurniaan. Lihatlah Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam makanan dan minuman Baginda setiap hari kebanyakannya adalah buah kurma dan air kosong sahaja, begitu juga dengan para sahabat mereka tidak sehebat kita dari sudut kemewahan tetapi mereka memiliki hati yang bahagia jiwa yang kuat kerana mereka berpegang dengan al-Quran sebagai panduan dan kekuatan. Para sahabat berjaya mengubah dunia dan membebaskan manusia daripada hidup merana dengan mengajak mereka berpegang kepada petunjuk Allah iaitu al-Quran.

Saudaraku, marilah kita sama-sama menuju kearah kebahagian yang sebenar, bimbinglah keluarga dan anak-anak kita kepada petunjuk Allah. Marilah kita bersatu dalam mengajak manusia dan generasi muda kepada mempelajari, menghafaz dan menyebarkan al-Quran seluas-luasnya supaya peranan al-Quran kembali bersinar . Saya menyeru saudara semua agak menyokong usaha Maahad Tahfiz Darul Hikmah (MTDH) dalam menyebarkan ilmu al-Quran kepada orang ramai khususnya generasi baru dengan cara yang mudah dan berkesan agar umat ini kembali kegemilangannya dan kemuliaanya in shaa Allah.

(ABDULLAH AL-HAKIM AD-DIMASYQI)