Profile Maahad Tahfiz Darul Hikmah

Pengenalan dan Sejarah Penubuhan Maahad Tahfiz Darul Hikmah

Maahad Tahfiz Darul Hikmah (MTDH) adalah sebuah pusat tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), No Perakuan Pendaftaran: 13S(8) 20/62 dan Kod sekolah: BZH8092. MTDH diasaskan dan ditubuhkan pada pertengahan tahun 2018 oleh ustaz Abdullah Al-Hakim bin Zainon Ad-Dimasyqi atau lebih terkenal dengan nama ustaz Hakim.

MTDH bermula dengan sebuah taska Taska al-Marjan pada tahun 2016, kemudian bertukar kepada Jom Mengaji sebuah pusat pengajian al-Quran dan Fardhu ‘ain pada tahun 2018. Jom Mengaji pada tahun penubuhannya mula mengadakan kelas al-Quran kepada kanak-kanak, remaja dan dewasa. Di antara pendekatan dalam pengukuhan Fardhu ‘Ain Jom Mengaji juga ada mengadakan daurah ilmiah pada musim cuti sekolah seperti mengkhatam kitab hadis 40.

Selepas Mac 2018 ustaz Hakim mula membuka pendaftaran kepada pelajar luar untuk mengikuti program tahfiz, dengan izin Allah ada tiga orang pelajar berdaftar untuk program tahfiz sepenuh masa dan tujuh orang pelajar tahfiz kemahiran. Ketika ini semua aktiviti pelajar dilakukan di rumah teres Denai Alam kecuali pelajar tahfiz kemahiran, mereka di siang hari bekerja di bengkel encik Rahmat dan di malam harinya mengikuti program tahfiz dan agama yang telah dijadualkan. Bermula di sini maka tertubuhlah Maahad Tahfiz Darul Hikmah.

Pada permulaannya kerja-kerja pentadbiran dan mengajar diusahakan oleh ustaz Hakim seorang diri dan dibantu oleh adik beliau encik Abdullah Azam. Ustaz Hakim melihat bahawa MTDH mestilah didaftar di bawah JAIS untuk terus maju dan memberi lebih banyak manfaat kepada ummah. Pada lapan (8) April diadakan mesyuarat pertama untuk melantik ahli jawatankuasa dan membincang halatuju MTDH. Di awalnya nama bagi MTDH adalah Akademi Tahfiz Darul Hikmah tetapi nama ini tidak diluluskan oleh JAIS di atas asbab tertentu, lalu istilah “akademi” diganti kepada “maahad”. Dalam proses untuk mendaftar MTDH di bawah JAIS ustaz Hakim dinasihati untuk mencari rumah kedai sekiranya mahu mendapat lesen dan pendaftaran dari pihak berkuasa.

Atas nasihat daripada JAIS tadi maka ustaz Hakim mula mencari rumah kedai di sekitar Denai Alam, takdir Allah ada shop lot untuk disewa dan sangat sesuai dijadikan pusat tahfiz. Pada sekitar Julai 2018 kerja-kerja pengubahsuaian mula dilakukan dan awal Disember 2018 bangunan tadi siap untuk beroperasi. Kebetulan pada bulan Disember musim cuti sekolah maka bangunan baru yang diubahsuai ini dirasmikan dengan program cuti sekolah.

Alhamdulillah! Bulan Januari 2019 MTDH menerima 10 orang lagi pelajar baru, jadi keseluruhan pelajar MTDH ketika itu adalah 12 orang. Pada tahun ini juga MTDH menambah tenaga pengajar dan pekerja di bahagian pentadbiran. 2019 dengan takdir Allah salah seorang pelajar MTDH iaitu Faris Farhan viral menjadi imam terawih. Di sini MTDH mula terkenal dan pelajar kian bertambah. Sehingga hujung Mei 2023 jumlah pelajar MTDH ialah 160 orang dan jumlah guru serta staf pula ialah 26 orang.

“MTDH bermula dengan sebuah taska Taska al-Marjan pada tahun 2016, kemudian bertukar kepada Jom Mengaji sebuah pusat pengajian al-Quran dan Fardhu ‘ain pada tahun 2018. Jom Mengaji pada tahun penubuhannya mula mengadakan kelas al-Quran kepada kanak-kanak, remaja dan dewasa”