Sistem Pengajian

Sistem Pengajian

Sistem Pengajian

Kaedah pengajian di sini dibahagikan kepada tiga fasa:

Pertama: Fasa Al-Aulad

Fasa ini merupakan peringkat rendah, tahfiz integrasi bermula daripada aulad 1 – aulad 6. pelajar akan belajar semua subjek seperti sekolah lain juga tetapi MTDH menekankan kepada subjek al-Quran. Apabila pelajar tamat diperingkat rendah mereka wajib cemerlang dalam membaca al-Quran. Pelajar juga akan menduduki peperiksaan UPKK di tahun lima dan PSRA di tahun enam.

Sasaran MTDH kepada pelajar di fasa ini adalah:

Dapat membaca al-Quran dengan cemerlang dan bertajwid dengan menggunakan kaedah Nurul Bayan melalui kitab “Fathurrahman”.

Hafaz juzuk 30, surah-surah pilihan dan khatam al-Quran secara bertalaqqi dengan guru.

Cemerlang dalam ilmu agama khususnya fardhu ‘ain dan bidang akademik.

Dapat membaca tiga bahasa dengan baik, Bahasa Arab termasuk jawi, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Subjek-Subjek Fasa Al-Aulad:

  1. Hafazan
  2. Talaqqi
  3. Aqidah Islamiah
  4. Fiqh
  5. Tajwid
  6. Sirah
  7. Hadis
  8. Tafsir
  9. Tajwid
  10. Jawi
  11. Khat dan Imla’
  12. Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI)
  13. Akhlak dan Adab
  14. Bahasa Arab
  15. Bahasa Melayu
  16. Bahasa Inggeris
  17. Matematik
  18. Sains

Kedua: Fasa Al-Hifz Dan SPM

Fasa ini merupakan peringkat menengah, di peringkat ini pengajian terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Hifz dan Fasa SPM. Fasa Hifz pelajar akan fokus kepada hafazan al-Quran sepenuhnya, tempoh fasa ini hanya empat tahun sahaja kemudian pelajar wajib mengambil SPM dalam tempoh setahun atau dua tahun.

Ketiga: Fasa Syahadah Dan Ijazah

Fasa ini merupa kemuncak pengajian di MTDH yang mana disediakan untuk melahirkan ahli al-Quran yang sebenar Ikhlas dan bertaqwa kepada Allah. Pelajar akan melalui tiga proses penting atau tiga (T) di fasa ini iaitu: tarbiah, tahfiz dan ta’lim sehingga diperakui hafazan, ilmu dan akhlak mereka. Apabila pelajar berjaya melalui proses ini, maka mereka layak menerima ijazah al-Quran yang bersambung dengan Baginda Nabi ﷺ.

Pelajar yang layak ke fasa ini adalah mereka yang telah hatam al-Quran secara hafazan. Sasaran di fasa ini adalah pelajar dapat ingat keseluhan al-Quran dengan cemerlang tanpa ada sedikit pun kelemahan pada mana-mana surah yang dihafaz. Di fasa ini pelajar akan mengulang al-Quran hingga mampu membaca al-Quran dalam tempoh sehari sahaja di hadapan guru yang memiliki ijazah bersanad hingga kepada Nabi ﷺ. Di fasa ini juga pelajar akan belajar kitab-kitab yang penting untuk membantu mereka memahami kitab Allah dan sunnah Rasullah ﷺ.

Aktiviti-Aktiviti Tambahan

Pengajian Umumi

Di antara keistimewaan MTDH adalah para pelajar diisi dengan pengajian umumi, kebanyakan pengajian ini adalah berkitab atau guru akan memberi nota kepada para pelajar. Pengajian ini dilaksanakan pada waktu pagi dan malam atau lebih dikenali sebagai kuliah subuh dan maghrib.

Matlamat daripada kuliah-kuliah ini adalah untuk pengukuhan dan pemantapan fardhu ‘ain dan juga sebagai slot tarbiah rohani bagi para pelajar.

Daurah Ilmiah

Daurah atau kursus adalah salah satu cara MTDH untuk memastikan pelajar sentiasa mengulang kaji ilmu yang mereka telah pelajari. Kebiasaan dalam daurah ini guru akan khatam kitab-kitab dalam ilmu tertentu seperti ilmu fekah, aqidah, sirah, akhlak, hadis, tafsir, tajwid dan ilmu lain yang dinilai penting untuk pelajar mengetahuinya. Dengan adanya daurah berkitab ini pelajar dapat pengalaman baru selain menghafaz al-Quran. Kebiasaan daurah dilakukan di waktu cuti sekolah dalam tempoh sehari ke tiga hari sahaja.

Bina Jati Diri

Di antara pendekatan yang pihak MTDH lakukan untuk melatih dan mencungkil bakat pelajar adalah dengan mengajar dan melatih mereka:

Berusrah, bermuhadarah, berpidato, berceramah, berkhutbah, bersajak, berbebat, bernasyid, bersukan, memimpin, mencipta dan melakukan Kem Jati Diri pada hujung tahun.

Kejayaan Maahad Tahfiz Darul Hikmah

Maahad Tahfiz Darul Hikmah telah berjaya – alhamdulilah- melahirkan pelajar yang mulanya buta huruf sekarang sudah dapat membaca al-Quran dengan cemerlang bertajwid sedap didengari, sebahagiannya datang dengan akhlak – hanya kepada Allah sahaja tempat mengadu- sekarang alhamdulillah sudah banyak perubahan. Sebahagian mereka datang tidak ada keyakinan diri bila mahu berhadapan dengan orang, alhamdulillah sekarang sudah mampu bercakap di hadapan kawan-kawan.

Ada dikalangan pelajar kita yang dapat mengimami solat di masjid dan surau dan mengetuai majlis-majlis tertentu dalam bacaan al-Quran dan doa. Dan ramai daripada mereka yang mampu menjadi imam kepada keluarga dan mengajar ibu bapa serta adik beradik untuk membaca al-Quran dengan lebih baik dan bertajwid. Maahad Tahfiz Darul Hikmah juga mendapat kepercayaan surau Abrar Denai Alam dengan melantik guru-guru dan pelajar-pelajar MTDH sebagai imam di surau mereka.